KUCHING, 5 Oktober 2025 — Malam Anugerah Kecemerlangan Industri Sarawak (PSIEA) 2025 menjadi detik bersejarah buat Raya Khas Sdn. Bhd., apabila syarikat ini diumumkan sebagai pemenang Gold Award (Large Category) serta Anugerah Cemerlang (Outstanding Award) — dua pengiktirafan tertinggi bagi pemain industri di Sarawak. Kejayaan ini menjadikan Raya Khas syarikat automotif Bumiputera pertama di Sarawak yang menerima pencapaian berganda berprestij ini.
Anugerah berkenaan telah disampaikan oleh Yang Amat Berhormat Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Haji Abdul Rahman Zohari Bin Tun Datuk Abang Haji Openg sebagai pengiktirafan terhadap kecemerlangan perniagaan, inovasi serta sumbangan signifikan syarikat tempatan kepada pembangunan ekonomi negeri.
Pengarah Urusan Raya Khas, Yasmin Md Johnny, meluahkan rasa kesyukuran yang mendalam atas pengiktirafan tersebut.
“Dari awal lagi, matlamat kami jelas untuk membawa syarikat kecil ini melangkah ke tahap yang lebih tinggi melalui usaha yang berterusan, keyakinan terhadap proses dan doa. Setiap langkah yang diambil, setiap cabaran yang ditempuh dan setiap detik bersama pasukan telah membentuk perjalanan yang membawa kami hingga ke hari ini,” kata beliau.
Beliau turut menegaskan bahawa kejayaan ini bukan hasil jalan singkat, sebaliknya lahir daripada usaha gigih, semangat pasukan, sokongan pelanggan setia, keluarga serta semua pihak yang mempercayai visi Raya Khas.
Sementara itu, Pengarah Eksekutif Raya Khas, Hj. Yusuf Roy Fitri Md Johnny, menzahirkan setinggi-tinggi kesyukuran kepada Allah SWT atas kejayaan ini.
“Kami amat berterima kasih kepada seluruh pasukan Raya Khas, rakan strategik, pelanggan, serta semua pihak berkepentingan yang sentiasa memberi sokongan tanpa henti. Ini bukan sekadar kemenangan syarikat ini kejayaan bersama,” katanya.
Pengiktirafan PSIEA ini mencerminkan komitmen Raya Khas terhadap penambahbaikan berterusan dalam memberi perkhidmatan terbaik, sambil memegang teguh nilai teras syarikat iaitu “Sebaik-baik manusia adalah yang memberi manfaat kepada orang lain.”
Selaras dengan agenda negeri ke arah ekonomi hijau dan pembangunan mampan, Raya Khas turut merancang pelbagai inisiatif masa hadapan termasuk pembangunan dan pemasangan trak elektrik (EV) secara CKD untuk sektor komersial dan memperkukuh kemudahan pengecas pantas DC di bilik pameran terpilih. Langkah ini menyokong usaha dan aspirasi kerajaan negeri untuk menjadikan Sarawak peneraju tenaga hijau dan mobiliti rendah karbon menjelang 2030.
Tentang PSIEA
Anugerah Kecemerlangan Industri Sarawak (PSIEA) merupakan platform pengiktirafan tertinggi oleh Kerajaan Negeri Sarawak bagi menghargai sumbangan syarikat-syarikat tempatan dalam pelbagai sektor industri.
Untuk siaran media & pertanyaan lanjut:
www.rayakhas.com.my
FACEBOOK : https://www.facebook.com/
HOTLINE: +60 19-817 2168